PERUTUSAN PENGERUSI

 

Suruhanjaya komited untuk memperkasakan

 penyampaian perkhidmatan dalam talian berbentuk ‘end to end’

dalam segala urusan pelaksanaan ‘core business’ SPAJ,

sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri

 bagi memastikan ‘Agenda Johor Digital’ tercapai”

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera 

 

Salam Maju Johor.

 

Saya merafakkan kesyukuran ke-Hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya maka Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ) bagi tahun 2020 telah berjaya  disediakan bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Seksyen 17, Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Kerajaan Negeri 1959.  Laporan Tahunan 2020 ini disediakan bagi tujuan membentangkan segala aktiviti dan pencapaian yang telah diperolehi di sepanjang tahun 2020 berdasarkan fungsi Suruhanjaya ini iaitu melantik, mengesahkan jawatan, memasukkan dalam jawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukar dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota perkhidmatan Awam Negeri Johor.

 

Pada awal tahun 2020, dunia telah digegarkan dengan wabak COVID-19. Negara Malaysia antara negara yang turut menerima penularan pandemik itu dan Negeri Johor juga secara langsung menerima kesan akibat penularan wabak tersebut.  Pihak Kerajaan telah mengambil langkah prihatin terhadap keselamatan rakyat dan Negara maka, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuat kuasakan bermula 18 Mac demi mengekang penularan pandemik itu.  PKP telah memberikan impak besar kepada kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.  Malah, hidup rakyat turut terkesan lebih-lebih lagi apabila perlu mengadaptasi kebiasaan baharu dan mematuhi pelbagai prosedur operasi standard (SOP).  Situasi yang berlaku ini telah memberi impak yang ketara terhadap pengurusan pelaksanaan fungsi SPAJ.

 

Berbekalkan iltizam dan sebagai sebuah agensi yang berperanan menjadi pintu gerbang perkhidmatan awam Johor, SPAJ komited dan mengambil inisiatif untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatannya dengan memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang menjurus kepada perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung ‘end to end’ (E2E).  Melalui kaedah ini, segala urusan pelaksanaan ‘core business’ di SPAJ boleh dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya dari mula hingga akhir proses, boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana saja. 

 

Usaha pihak Suruhanjaya meningkatkan perkhidmatan E2E ini akan terus dilaksanakan walaupun beberapa cabaran perlu dihadapi bagi memastikan proses pengambilan dan pelantikan penjawat awam Negeri dilaksanakan dengan lebih cekap,  Di samping itu, inisiatif SPAJ ini juga ‘in line’ dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam memastikan ‘Agenda Johor Digital’ terlaksana.  Perubahan minda daripada amalan konvensional yang masih memerlukan calon atau pemohon berkunjung ke kaunter, membuat permohonan secara manual dan sebagainya wajar diubah kepada kebiasaan baharu dengan memperkasakan penggunaan sistem secara dalam talian.

 

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu SPAJ menjayakan fungsi yang diamanahkan kepadanya.  Semoga segala usaha yang kita lakukan diberkati oleh Allah S.W.T jua.

 

Salam hormat dan maju jaya.

YANG BERHORMAT DATO’ HAJI MARSAN BIN KASSIM

Pengerusi
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor

 

 


PERUTUSAN SETIAUSAHA

 

Assalamualaikum wbt. dan Salam Maju Johor,

 

Perkhidmatan awam negeri Johor telah mula wujud sejak era pemerintahan Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Baginda yang memerintah Johor di antara tahun 1855 sehingga 1862 telah mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Muar dan Pesuruhjaya Endau.  Pesuruhjaya yang dilantik pada ketika itu bertanggungjawab untuk membantu baginda di dalam urusan pentadbiran dan kewangan negeri Johor.

 

Pada ketika pemerintahan Sultan Abu Bakar (1862 – 1895), baginda telah mengasaskan Pentadbiran Johor Moden dengan menubuhkan beberapa jabatan kerajaan seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pesuruhjaya Divisyen, Jabatan Perbendaharaan, Pasukan Polis, Jabatan Kerja Raya dan Tanah, Jabatan Laut dan Jabatan Perubatan.  Pada ketika itu, pentadbiran negeri Johor muncul sebagai negeri melayu terawal mengasaskan sistem pentadbiran moden berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu.

 

Sistem Pentadbiran Johor Moden ini telah diperkukuhkan lagi dengan pemasyuran Perlembagaan Johor yang dikenali sebagai Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895.  Di dalam Perlembagaan Johor termaktub pelantikan jawatan-jawatan perkhidmatan awam negeri Johor seperti Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Mufti dan lain-lain jawatan utama perkhidmatan awam.  Negeri Johor merupakan negeri pertama di Tanah Melayu yang memiliki Undang-Undang Tubuh Kerajaan berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu dan ia masih terus diguna pakai sehingga ke hari ini.

 

Sejajar dengan perubahan zaman dan kemajuan negara, perkhidmatan awam Johor telah berkembang maju seiring dengan pemodenan negara. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor telah ditubuhkan berdasarkan kepada Seksyen 4, Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri 1959 dan tertakluk di bawah Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Peranan utama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor adalah untuk menjalankan sesi penilaian temu duga serta membuat pelantikan calon-calon yang berjaya ke dalam perkhidmatan awam.  Calon-calon yang berjaya akan dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan sama ada di dalam kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Kumpulan Pelaksana. Suruhanjaya amat komited untuk memastikan bahawa hanya calon-calon yang kompeten dan terbaik ditawarkan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan.

 

Pada masa kini, Sistem Teknologi Maklumat berkembang dengan sangat pantas di seluruh dunia. Perkongsian maklumat boleh dilakukan dengan sangat cepat dan mudah.  Portal rasmi ini diwujudkan bagi memudahkan pihak suruhanjaya menyampaikan maklumat dan informasi terkini terutama berkaitan dengan hebahan jawatan-jawatan kosong kepada semua.

 

Selamat melayari Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor. Terima kasih.

ENCIK MD HASANUDDIN BIN MOHMAD HASIM

SETIAUSAHA

SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM JOHOR